Tuesday, December 8, 2009

Memantapkan Fikrah Meningkatkan Amal

Arus jahiliyah semakin kuat sejajar dengan kecangihan teknologi ICT khususnya media elektronik. Para da'i boleh memanfaatkan kehebatan teknologi terkini untuk berdepan dengan arus yang boleh merobak-rabikan keimanan generasi penyambung perjuangan. Di antara bahan rujukan dakwah dan tarbiyah boleh di lihat di SINI

Monday, December 7, 2009

Memaksimakan Kesan Usrah

Berdasarkan pengalaman, biasanya majlis usrah lebih berkesan untuk meningkatkan ilmu, iman dan amal serta menyeimbang dan mengistiqmahkannya berbanding majlis-majlis pengajaran di masjid-masjid. Tentu saja ia lebih berkesan daripada majlis-majlis yang diadakan sesekali seperti ceramah maulidurrasul, forum perdana, israk mikraj dan lain-lain. Ceramah kadang-kadang memang menaikkan semangat tapi habis ceramah, sebagaimana cepatnya naik sebegitulah cepatnya turun. Lebih baik kuliah bersiri berbanding ceramah. Begitulah kebiasaannya namun ia bergantung juga kepada kecekapan naqib usrah menjayakan majlisnya.
ATURCARA USRAH YANG DISARANKAN

1. MUQADDIMAH
Naqib membuka majlis dengan kata-kata aluan, bacaan al-Fatihah, suntikan motivasi (agar peserta rasa kehadiran mereka sebenarnya menguntungkan) ataupun lain-lain yang dirasakan sesuai. Fadhail amal sangat sesuai sebagai pembuka langkah. Sangat baik jika naqib mengimbas kembali dapatan-dapatan penting dalam usrah sebelum ini sebagai pengukuhan.

2. TILAWAH
Setiap ahli membaca sejumlah ayar al-Quran secara menatapnya sambil disaksikan oleh ahli-ahli lain. Ayat-ayat ini dibaca bersambung-sambung bermula dari surah al-Baqarah dan seterusnya. Selepas semua tamat membaca, perbincangan dibuka, pembetulan dan pemurnian bacaan akan dilakukan bersama-sama terutamanya oleh naqib ataupun ahli yang ada ilmu tajwid.

3. TADABBUR
Naqib ataupun ahli yang tahu akan menyentuh satu dua ayat yang sudah dibaca dalam tilawah tadi dan menghuraikannya ataupun memberi apa-apa refleksi tentangnya.
Perbincangan dibuka.

4. HAFAZAN
Setiap yang ada mempamerkan hafazan mereka sambil disemak oleh yang lain, sama ada ayat-ayat pilihan sendiri ataupun ayat-ayat yang telah ditentukan oleh naqib (ataupun jemaah).

5. TAZKIRAH
Satu ataupun dua orang ahli yang sampai gilirannya akan menyampaikan tazkirah masing-masing sebagai satu latihan.
Perbincangan dibuka.

6. PENGISIAN
Naqib menyampaikan bahan utama usrah sama ada bahan pilihannya sendiri, bahan yang dipersetujui bersama ataupun lebih baik adalah bahan yang ada dalam sukatan/ silibus usrah sebagimana yang ditetapkan oleh jemaah. Contohnya buku-buku tertentu, bahan bercetak susunan jemaah, kitab tafsir seperti Fi Zilalil Quran ataupun bahan-bahan utama lain. Oleh kerana masa berusrah terhad, bahan utama ini boleh diselang-selikan pada setiap minggu.
Perbincangan dibuka.

HAL-HAL LAIN
Naqib mengumumkan info terkini tentang program-program jemaah. Setiap peserta boleh meluahkan apa saja yang berkaitan seperti isu semasa, hal ehwal usrah, perkongsian masalah, perancangan program dan sebagainya.

PENUTUP
Peringatan-peringatan ringkas, tarikh usrah akan datang dan rumusan usrah kali ini oleh naqib. Ditutup dengan Tasbih Kifarah dan surah al-Asr.

*BONUS
Jamuan ringan jika ada. Sekiranya berusrah di kediaman ataupun bilik, biasanya ‘tuan rumah’ yang menyediakannya. Jamuan tidak termasuk dalam agenda usrah, ia bukan satu kemestian.

Turutan agenda di atas boleh diubah mengikut kesesuaian.


USRAH YANG KURANG BERKESAN

Naqib tidak membuat perancangan langsung. Pengisian usrah bergantung kepada apa yang terfikir ketika itu.

Ahli usrah ramai. Saya cadangkan seorang naqib mengendalikan 3-5 orang peserta sahaja agar setiap individu berada dalam pemantauan si naqib dan perjalanan usrah terkawal lagi lancar.

Usrah dijalankan dalam bentuk pengajian seperti di masjid-masjid. Tok guru bercakap dari awal hingga akhir, peserta lebih banyak mendengar.

Penglibatan anak buah minima. Bakat mereka tidak diasah dengan tugasan-tugasan sebagai pengisian usrah. Pandangan mereka diminta hanya pada penghujung majlis usrah dan bukannya untuk setiap agenda.

Jangka masanya terlalu singkat ataupun terlalu panjang. Terlalu singkat- bateri peserta tidak cukup dicas. Terlalu panjang- peserta bosan dan tidak memberi tumpuan.

‘Wajibat’ (amalan-amalan yang perlu dilangsaikan) tidak diberi penekanan oleh naqib.


MEMAKSIMAKAN KESAN USRAH

Selain naqib, sekurang-kurangnya ada seorang ‘orang lama’ dalam kalangan peserta. Lebih baik jika ‘orang lama’ ini ilmu dan kebolehannyanya lebih kurang ataupun hampir sama dengan ilmu dan kebolehan naqib. Paling tidakpun, dia seorang yang sudah biasa sangat dengan usrah. Orang ini tugasnya sebagai pembantu dan pengukuh kepada naqib serta contoh kepada peserta.

Naqib hendaklah memelihara dan meningkatkan kredibiliti diri.

Isi usrah yang lalu disentuh sepintas lalu pada permulaan usrah.


‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’

Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
15 MEI 2008


Tulisan ini diambil di SINI

Beradab dalam berbeza pendapat

KITA harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeza-beza. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan ulama mujtahid. Kerana itulah ia membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi.

Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi. Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok 'agamawan reformis' atau digelar juga 'progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut 'pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat.

Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform sama ada 'minda tajdid', atau mengemudi 'bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti 'kembali kepada al-Quran dan Sunnah', atau 'mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.

Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok 'mujaddid palsu' ini ialah selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Quran dan Sunnah; nenek moyang dan ibu bapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bidaah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.

Baca lanjut di SINI

NGO Islam Malaysia

Berikut adalah laman web yang memaparkan berita NGO Islam di Malaysia
Baca lanjut di SINI

Gerakan Tajdid Sepanjang Zaman

Banyak SMS dalam kotak box telefon bimbitku, minta supaya aku mengulas tentang wawancara Menteri Besar Perlis tentang kenyataan beliau berkenaan dakwaan beliau, Perlis amalkan Syafii tulen. Aku terus meminta mereka merujuk kepada tulisanku yang lalu. Pun begitu, setelah aku membaca sendiri tulisan akhbar tentang wawancara tersebut, hati ini mendesak agar aku menulis.


Aku berfikir tentang tajuk yang patut dan sesuai dalam isu ini. Dalam keadaan yang tidak disangka, terpancullah satu tajuk yang padaku menggambarkan apa yang sebenarnya aku berfikir tentang gerakan tajdid yang dicanang oleh sebilangan manusia di negara ini semenjak ianya di lahirkan.

Gerakan Tajdid

Di sana terdapat perbezaan antara “tajdid” dan “jaded”. Kalimah “ad-Din al-Jadid” memberi maksud yang bercanggah dengan syariah, kerana terjemahannya adalah “agama yang baru”. Adapun kalimah “Tajdid ad-din” pula adalah kalimah keramat yang mulia dan layak diungkapkan dalam skop perbincangan ilmiyyah dan perlaksanaan.

Tajdid atau terjemahan Melayunya “pembaharuan”, atau telah diperMelayukan juga kepada kalimah “reformasi” adalah berasal dari kalimah arab “jaddada, Yujaddidu, Tajdid

Tajdid ad-din bermaksud, gerakan untuk melakukan pembaharuan terhadap agama. Gerakan memperbaharukan agama bukan bermaksud mewujudkan agama baru, tetapi mengembalikan agama yang sudah ditinggalkan. Usaha mentajdidkan agama ini bukanlah satu lontaran retorik dan hipokrit, tetapi ianya adalah perkara yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Al-Hakim An-Naisaburi menukilkan satu hadis dalam kitabnya;

عن أبي هريرة رضي الله عنه ولا أعلمه إلا عن رسول الله (ص) قال إن الله يبعث إلى هذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, dan aku tidak mengetahuinya melainkan daripada Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah membangkitkan kepada umat ini atas awal setiap seratus tahun mereka yang akan mentajdidkan baginya agamanya." [1]

Dalam hadis ini, Rasulullah sendiri telah mengungkap kewujudan manusia yang akan melakukan tajdid dalam agama. Mereka berusaha ke arah mengembalikan manusia kepada ajaran Islam yang telah ditinggalkan oleh manusia, khususnya orang Islam sendiri.

Dari hadis ini, secara mafhum di sebalik mantuqnya dapat difahami, atau dalam istilah mazhab Hanafi, secara dilalah isyarahnya, terkandung maksud, di zaman-zaman tertentu, pasti akan wujud manusia yang akan meninggalkan agama. Meninggalkan itu dari sudut pengamalannya di samping menganggap agama bukan perkara utama dalam kehidupan.

Bagi membasmi pemikiran karut ini, baginda SAW menyatakan tentang kewujudan manusia yang beriman untuk mengembalikan mereka kepada Islam mengikut acuannya yang betul. Kehadiran golongan yang mengembalikan mereka kepada Islam dalam bentuk yang betul itu dinamakan sebagai “mujaddid” atau golongan pembaharuan dalam agama.

Ulama Mujaddid

Perjuangan tajdid agama adalah disinonimkan dengan keadaan yang apabila lahirnya pemikiran meninggalkan agama. Atau dalam keadaan manusia menganggap sesuatu amalan yang tidak Islam sebagai Islam.

Dengan kelahiran Imam Ibnu Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Al-Qayyim, Abu Hasan Al-‘Asyari, Hassan Al-Banna, Sayyeq Qutb, Maududi, Imam Ahmad bin Hanbal dan sebagainya adalah membuktikan bahawa mereka ini adalah golongan telah berusaha ke arah pentajdidan yang sesuai di zaman mereka.

Golongan Mujaddid yang lahir di kemudiannya, dengan gaya tajdid yang dipimpin oleh mereka tidak pernah memperlekehkan golongan mujaddid yang terdahulu.
Baca lanjut di SINI