Banyak SMS dalam kotak box telefon bimbitku, minta supaya aku mengulas tentang wawancara Menteri Besar Perlis tentang kenyataan beliau berkenaan dakwaan beliau, Perlis amalkan Syafii tulen. Aku terus meminta mereka merujuk kepada tulisanku yang lalu. Pun begitu, setelah aku membaca sendiri tulisan akhbar tentang wawancara tersebut, hati ini mendesak agar aku menulis.
Aku berfikir tentang tajuk yang patut dan sesuai dalam isu ini. Dalam keadaan yang tidak disangka, terpancullah satu tajuk yang padaku menggambarkan apa yang sebenarnya aku berfikir tentang gerakan tajdid yang dicanang oleh sebilangan manusia di negara ini semenjak ianya di lahirkan.
Gerakan Tajdid
Di sana terdapat perbezaan antara “tajdid” dan “jaded”. Kalimah “ad-Din al-Jadid” memberi maksud yang bercanggah dengan syariah, kerana terjemahannya adalah “agama yang baru”. Adapun kalimah “Tajdid ad-din” pula adalah kalimah keramat yang mulia dan layak diungkapkan dalam skop perbincangan ilmiyyah dan perlaksanaan.Tajdid atau terjemahan Melayunya “pembaharuan”, atau telah diperMelayukan juga kepada kalimah “reformasi” adalah berasal dari kalimah arab “jaddada, Yujaddidu, Tajdid”
Tajdid ad-din bermaksud, gerakan untuk melakukan pembaharuan terhadap agama. Gerakan memperbaharukan agama bukan bermaksud mewujudkan agama baru, tetapi mengembalikan agama yang sudah ditinggalkan. Usaha mentajdidkan agama ini bukanlah satu lontaran retorik dan hipokrit, tetapi ianya adalah perkara yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
Al-Hakim An-Naisaburi menukilkan satu hadis dalam kitabnya;
عن أبي هريرة رضي الله عنه ولا أعلمه إلا عن رسول الله (ص) قال إن الله يبعث إلى هذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, dan aku tidak mengetahuinya melainkan daripada Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah membangkitkan kepada umat ini atas awal setiap seratus tahun mereka yang akan mentajdidkan baginya agamanya." [1]
Dalam hadis ini, Rasulullah sendiri telah mengungkap kewujudan manusia yang akan melakukan tajdid dalam agama. Mereka berusaha ke arah mengembalikan manusia kepada ajaran Islam yang telah ditinggalkan oleh manusia, khususnya orang Islam sendiri.
Dari hadis ini, secara mafhum di sebalik mantuqnya dapat difahami, atau dalam istilah mazhab Hanafi, secara dilalah isyarahnya, terkandung maksud, di zaman-zaman tertentu, pasti akan wujud manusia yang akan meninggalkan agama. Meninggalkan itu dari sudut pengamalannya di samping menganggap agama bukan perkara utama dalam kehidupan.
Bagi membasmi pemikiran karut ini, baginda SAW menyatakan tentang kewujudan manusia yang beriman untuk mengembalikan mereka kepada Islam mengikut acuannya yang betul. Kehadiran golongan yang mengembalikan mereka kepada Islam dalam bentuk yang betul itu dinamakan sebagai “mujaddid” atau golongan pembaharuan dalam agama.
Ulama Mujaddid
Perjuangan tajdid agama adalah disinonimkan dengan keadaan yang apabila lahirnya pemikiran meninggalkan agama. Atau dalam keadaan manusia menganggap sesuatu amalan yang tidak Islam sebagai Islam.Dengan kelahiran Imam Ibnu Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Al-Qayyim, Abu Hasan Al-‘Asyari, Hassan Al-Banna, Sayyeq Qutb, Maududi, Imam Ahmad bin Hanbal dan sebagainya adalah membuktikan bahawa mereka ini adalah golongan telah berusaha ke arah pentajdidan yang sesuai di zaman mereka.
Golongan Mujaddid yang lahir di kemudiannya, dengan gaya tajdid yang dipimpin oleh mereka tidak pernah memperlekehkan golongan mujaddid yang terdahulu.
Baca lanjut di SINI
No comments:
Post a Comment